PERHATIAN: Laman alqayyum2u.blogspot.com ini tidak lagi dikemaskini. Sila layari laman web kami di alqayyum2u.com untuk paparan yang lebih baik dan terkini. Syukron jazilan. - Pentadbir

Sabtu, 1 Oktober 2011

Maksud Kasyaf Menurut Imam Al-Ghazali

Apakah maksud kasyaf?

Kasyaf ialah satu istilah yang dipakai kepada pembuka hijab melalui ilham, ia ialah sumber maklumat yang menyamai wahyu kepada nabi-nabi, antara wahyu dan ilham dibezakan oleh penerima sama ada nabi ataupun bukan.


Kasyaf ditakrifkan sebagai "menyingkap maklumat di sebalik hijab yang berupa perkara ghaib dan perkara perkara yang benar ada".

Kaum sufi berpendapat, apabila sesorang itu dianugerahkan ilham, maka terbukalah hijab dan dengan itu mereka dapat  menyingkap alam langit dan bumi, sidratul muntaha, luh mahfuz, syurga, neraka, kursi, qalam dan lain-lain yang selama ini menjadi rahsia. Mereka berpendapat tiada daun yang gugur di bumi, tiada air yang turun dari langit, tiada bayi yang lahir, tiada kejadian yang berlaku tanpa pengentahuan kaum sufi yang beroleh kasyaf. Mereka mengetahui apa yang tertulis di luh mahfuz. Mereka tahu dengan bahasa apa ditulis dan dengan pena mana dicatat setelah hijab dibuka. Maklumat ini menurut mereka tertutup kepada ulamak yang dinamakan ulamak syariat.

Apakah pendapat Imam Al-Ghazali tentang kasyaf?

Al-Ghazali mengakui kasyaf tidak diperolehi melalui jalan biasa, ia didapati melalui jalan takwa dan mujahadah, namun menurutnya tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu kasyaf tidak boleh ditulis di dalam kitab, disebabkan jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Hakikat ini dibayangkan dalam kitabnya 'Manhaj Al-Abidin' menerusi dua bait syair yang dihubungkan kepada Ali Zainal yang bermaksud:

“Kadangkala ilmu ini kalau aku hebahkan rahsianya, nanti aku dituduh penyembah berhala. Orang Islam akan menghalalkan darahku kerana menganggap baiknya perkara keji yang mereka lakukan itu.”

Kebimbangan al-Ghazali memang beralaskan apabila dituduh sebagai penyembah berhala dan layak dibunuh kerana perbuatan itu jelas bertentangan dengan syariat.

Al-Ghazali menjelaskan kasyaf, dengan katanya:

“Hendaklah duduk dengan hati yang kosong, penuh keinginan kepada Allah, fikirannya tidak dipisahkan dengan bacaan al-Quran dan tidak juga dengan meneliti tafsir, tidak menulis hadis dan sebagainya, cukup dengan lisan berterusan menyebut Allah Allah Allah.”

Limpahan ilmu kasyaf ke dalam hati sehingga mendengar suara haq, berlaku melalui khulwah berikut:

“Khulwah itu hanya berlaku dalam rumah yang gelap maka masuklah kepalanya dalam baju atau selimutnya dengan kain. Dalam keadaan ini ia akan mendengar dengan seruan al-Haq dan menyaksikan keagungan Rububiyyah.”

Selanjutnya Al-Ghazali berkata:

“Apabila Allah menjaga urusan hati,nescaya melimpah-limpah rahmat atasnya. Terangkan nur pada hati, lapanglah dada dan terbukalah baginya rahsia pada alam malakut.”

Walau bagaimanapun, Imam al-Ghazali tidak pernah menyebut malaikat turun pada kepada kaum sufi, kerana beliau sedar sesiapa mendakwa wahyu masih turun selepas kewafatan nabi maka ia kafir. Atas sebab ini beliau menolak dakwaan yang mengatakan bahawa hati para wali dan kaum sufi dilimpahkan ilmu yang mereka dakwa ke atas mereka. Dalam penegasan mengenai kasyaf sufi, Al-Ghazali cukup dengan mengatakan sebagai limpah ilmu ke dalam hati dan juga pendengaran suara.


Sumber: ummatanwasatan.net/2011/07/perihal-al-istighathah-syatohah-dan-kasyaf/