PERHATIAN: Laman alqayyum2u.blogspot.com ini tidak lagi dikemaskini. Sila layari laman web kami di alqayyum2u.com untuk paparan yang lebih baik dan terkini. Syukron jazilan. - Pentadbir

Selasa, 18 Oktober 2011

Khasiat Kurma

Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi. Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8% hingga 2.0%, serat 2.0% hingga 4.0%, manakala kandungan gulanya 50% hingga 57% glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi. 

Diserap Serta-merta 
Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.


Tenaga Serta-merta
Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang Maghrib atau Tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk. 

Kulit Mengandungi Serat, Sumber Utama Potassium 
Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi pelbagai zat galian dan yang paling banyak ialah potassium. Potassium diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf. Kurma adalah sumber terbaik potassium. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potassium tetapi jumlahnya sedikit. 

Menguatkan Ingatan 
Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya. 

Menghindari Racun
Diriwayat oleh Aishah RA yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat.
"Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan."

Meredakan Tekanan Darah
Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. 


Menambah Tenaga Seksual
Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin. Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kandungan Kurma 
Kurma sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A dan C dan juga niasin. Ia lazimnya dimakan semasa bulan Ramadhan dan mempunyai khasiat serta nilai yang tinggi dalam dunia perubatan tradisional. 

Dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus yang kronik, di mana ketidakserasian dengan gluten, menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dicetuskan oleh gluten dalam usus kecil. Tindakbalas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan.

Jus Kurma 
Selain daripada gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Bagaimanapun minuman ini tidak sesuai diamalkan oleh mereka yang mengidap penyakit diabetes, kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih serius. 

Jus kurma juga merupakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk, jus kurma sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong sekaligus menghentikan batuk.

Kurma Dalam Al-Quran 
Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak kerana telah terbukti, dalam Al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. 

Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Nabi Isa a.s. iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.


Sumber: www.sihatselalu.com.my/2010/08/khasiat-kurma.html