PERHATIAN: Laman alqayyum2u.blogspot.com ini tidak lagi dikemaskini. Sila layari laman web kami di alqayyum2u.com untuk paparan yang lebih baik dan terkini. Syukron jazilan. - Pentadbir

Sabtu, 7 Julai 2012

Perasmian Pusat Rawatan Al-Qayyum

Syukur alhamdulillah. Sempena dengan hampirnya malam Nisfu Syaaban serta selesainya proses perpindahan ke premis baru pada bulan Disember 2011 yang lalu; maka pada tanggal hari Selasa, 13 Syaaban 1433H bersamaan 3 Julai 2012 telah dipilih sebagai hari berlangsungnya acara 'Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Perasmian Pusat Rawatan Al-Qayyum' yang telah diadakan selepas Solat Isyak di premis PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.


Syukur alhamdulillah, majlis yang telah mendapat keizinan, keberkatan dan rahmat dari Allah SWT tersebut telah berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu dan kehadiran ramai tetamu, sahabat handai serta kenalan. 


Bacaan Yassin dan Tahlil telah diketuai oleh YBhg Fadhil Al-Ustaz Sheikh Zakaria Kassim, Imam Qariah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Kemudian, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas tentang Perubatan Islam oleh YBhg Fadhil Al-Ustaz Helly Sardi (dari Universiti Malaya), yang juga merupakan Penasihat Perubatan Islam dan Guru Kelas Mengaji Al-Quran dPUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™. Selepas itu, perasmian secara ringkas Pusat Rawatan Al-Qayyum telah disempurnakan oleh YBhg Fadhil Al-Ustaz Sheikh Zakaria Kassim. 

Antara barisan tetamu yang turut hadir di majlis bersejarah tersebut ialah YBhg Fadhil Al-Ustaz Mohd Hafiz Khamis Al-Hafiz, Imam Qariah Masjid Bukit Antarabangsa; Tuan Haji Abdul Rahman Tan Idris, Bilal dan Ketua Unit Pengurusan Jenazah, Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara; Tuan Haji Abdul Rasyid, Pengerusi Surau Al-Ukhwah, Bandar Sri Damansara; Tuan Haji Nasruddin Mohammad, Pengurus Jawatankuasa Mengurus Bersama Pangsapuri Sri Meranti merangkap Pengerusi KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan.


Majlis yang serba ringkas tetapi amat bermakna itu telah diakhiri dengan jamuan makan BBQ yang diadakan secara terbuka dan bersantai, bersebelahan dengan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™. Ucapan jutaan terima kasih kepada semua tetamu, sahabat dan kenalan yang telah hadir dan yang telah menyumbangkan tenaga, masa dan keperluan bagi menjayakan majlis tersebut. Terima kasih tak terhingga juga kepada Mu'alij Zain Misbah yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi sejak dari mula hingga akhir majlis. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa baik dan budi anda semua. Jazakumullahu khoiron kathiro. 





Sesungguhnya 'Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Perasmian Pusat Rawatan Al-Qayyum' yang telah diadakan ini merupakan satu lagi titik perjalanan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ di dalam memperjuangkan Perubatan Islam yang terjamin suci dan bebas dari segala unsur syirik, khurafat serta tidak bertentangan dengan Syariat Islam dan Hukum Syarak.  

Semoga dengan kewujudan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ yang kini mengorak langkah memainkan peranannya sebagai sebuah 'Pusat Komuniti Setempat ' di dalam hal-hal berkaitan Perubatan Islam, dapat menyedarkan dan mengelakkan masyarakat Islam dari terlibat dan terjerumus dengan perkara-perkara yang merosakkan aqidah; terutamanya dari tukang-tukang sihir, bomoh, pawang, dukun dan golongan yang sesat. Adalah diharapkan agar segala peranan dan fungsi PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ ini, sedikit sebanyak dapat menyokong dan membantu tugas dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak Majlis Agama, Jabatan Agama, Masjid, Surau, Pusat Perubatan Islam lain serta para Pendakwah yang bertungkus lumus setiap hari di dalam menegakkan syiar, kedaulatan, kesucian dan keagongan Islam. Allahuakhbar!

Semoga Allah SWT terus memberkati PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ dan mengizinkan agar berbagai lagi aktiviti dan program ibadah lain dapat dianjurkan dan dilaksanakan dengan lebih baik di masa-masa akan datang. In shaa Allah.


Artikel tulisan:
Indera Saifullah Tahir
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
alqayyum2u.blogspot.com