Selasa, 28 Ogos 2012

Susuk Adalah Haram

Perbuatan memakai susuk walau dengan apa niat dan cara sekali pun, hukumnya HARAM di sisi Islam berikutan penggunaannya mempunyai unsur syirik dan secara terang-terangan cuba mengubah kejadian Allah SWT.


Meskipun ada pengamal perubatan tradisional (atau ada juga yang mengaku sebagai pengamal perubatan Islam) mendakwa mereka mengamalkan kaedah yang tidak bertentangan dengan hukum Islam apabila menanam bahan tertentu seperti emas, berlian, logam, besi, merkuri, batu, kayu, benang, minyak atau sebagainya dengan menggunakan ayat al-Quran, dengan tujuan untuk memberikan kecantikan, kekuatan, kekebalan atau apa saja; ia tetap meragukan dan perlu dijauhi.

Perbuatan menanam benda-benda fizikal ke dalam badan secara kaedah 'luar biasa' (misteri) adalah menjurus kepada khariqul adat, yakni mencarikkan adat; yang berkemungkinan besar berkaitan dengan Istidraj (kehebatan yang dilakukan oleh orang kafir dan fasiq, dengan izin Allah SWT - untuk menambahkan lagi kefasiqan mereka) apabila ianya boleh dilakukan secara berulang-ulang kali oleh tukang-tukang sihir (yang kadangkala tidak mahu mengakui mereka ini mempelajari ilmu sihir dari jin-jin dan syaitan-syaitan yang seringkali menyamar sebagai orang alim, sheikh, wali, puteri, panglima dan sebagainya).

Adapun pemakaian susuk amat rapat dengan penggunaan ilmu sihir. Susuk dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada pengamal perubatan yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, maka jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ianya sama seperti bomoh, dukun atau pawang yang melakukan jampi serapah dan mentera khurafat; tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran (yang kebiasaannya bercampur-baur dengan mentera).

Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar. Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.

Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan (yang bermaksud): "Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (al-Baqarah: 102)

Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini lagi. Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat;  ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.

Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya (yang bermaksud): "(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (al-Falaq: 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan (yang bermaksud): "Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.

Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah SWT. Ini telah diharamkan melalui dalil-dalil yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.

Terima kasih kepada sumber:
http://www.zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/264-ringkasan-hukum-botox-susuk-braces.html
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1454.0

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Popular