PERHATIAN: Laman alqayyum2u.blogspot.com ini tidak lagi dikemaskini. Sila layari laman web kami di alqayyum2u.com untuk paparan yang lebih baik dan terkini. Syukron jazilan. - Pentadbir

Sabtu, 12 Julai 2014

Petua Kesihatan Romadhon

Oleh Dr. Zulkifli Yusof - Yang Dipertua ISMA Cawangan Alor Setar

Matlamat puasa adalah taqwa. Sebagaimana Alalh berfirman dalam Surah Al-Baqoroh ayat 183 (yang bermaksud): "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa".  Di dalam keinginan tinggi  kita mendapat taqwa, aspek-aspek kesihatan dan pemakanan perlu diambil kira agar tubuh badan kita dapat melaksanakan segala ibadah sebaik mungkin.

Antara tips-tips kesihatan yang ingin saya kongsikan adalah:

1. Berbuka dengan ruthaab, tamar atau air
Kurma adalah makanan yang mempunyai karbohidrat ringkas (simple carbohydrate) yang memudahkan badan mendapat tenaga tanpa memecahkannya terlebih dahulu. Jika kita memulakan berbuka dengan pelbagai makanan dimasak yang mengandungi karbohidrat kompleks (complex carbohydrate), maka badan perlu mengeluarkan tenaga bagi memecahkan karbohidrat ini bagi mendapatkan tenaganya. Ini menjadikan badan letih.  Tetapi dengan memulakan berbuka dengan kurma, karbohidrat ringkas akan terus diserap oleh badan dan memberikan tenaga kepada badan yang seharian berpuasa. Kurma  mempunyai 3.9% serat, 2.5% protein terutama triptofan yang dikatakan boleh menenangkan perasaan, 2.1% zat  seperti zat besi, kalsium, Vit A, Vit B1, B2, B6 dan B12. Ia adalah makanan ‘low fat and high fibre’ yang baik untuk kesihatan.

Ruthaab (kurma basah) adalah lebih baik dari tamar (kurma kering) kerana kandungan seratnya yang lebih tinggi. Dalam hadis riwayat Imam Abu Daud dan Al-Hakim  ‘Rasulullah saw berbuka dengan memakan beberapa Ruthaab sebelum solat, kalau tiada Ruthaab maka baginda berbuka dengan Tamar, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk’.

Bersegeralah berbuka. Tetapi kawal makan semasa berbuka. Sebaiknya kita berbuka dengan karbohidrat ringkas seperti kurma, bersolat dan seterunya menikmati juadah yang lebih berat. Dengan itu kita akan mendapat tenaga segera dengan memakan karbohidrat ringkas dan menyediakan perut kita bagi menghaDam makanan yang lebih kompleks. Perut yang kosong selama 14 jam akan lebih baik jika didedahkan dengan makan secara beransur-ansur.

Kita juga jangan menganggap juadah berbuka adalah gabungan makan pagi, tengahari dan  petang  yang ditinggalkan beserta makan malam. Berbuka melebihi had menyebabkan badan menjadi letih dan kurang cergas untuk beribadat. Konsentrasi solat juga akan terganggu. Adalah baik bahawa kuantiti juadah yang kita nikmati adalah seperti kuantiti makan malam biasa. Kita berhenti makan sebaik sahaja merasakan perut akan penuh. 

2. Melebihkan minum air kosong
Kita digalakkan meminum sekurang-kurangnya 6 gelas air kosong sehari. Tetapi rata-rata amalan meminum air kosong berkurangan di bulan Ramadhan.  Apa yang kerapkali berlaku adalah kita minum air manis (air tebu, cincau, oren, sirap etc) dalam kadar yang banyak semasa berbuka serta ditambah dengan meminum air manis (milo, nescafe, teh susu) selepas tarawih dan semasa bersahur. Sebaiknya kita perlu mengurangkan minum air manis semasa berbuka dan membanyakkan meminum air kosong selepas tarawih. Air kosong penting bagi proses perkumuhan dari buah pinngang.

Puasa Romadhon adalah satu period yang penting berlakunya proses ‘detoksifikasi’. Detoksifikasi adalah proses pembersihan racun dan toksin dari badan. Ketika berpuasa organ pencernaan makanan seperti perut dan pankreas berehat. Ia membantu organ pembersihan seperti usus, hati dan ginjal berfungsi dengan lebih berkesan mengeluarkan toksin  dari badan. Ketika puasa juga,  bahan simpanan dalam badan (lemak) ditukar kepada glukos untuk menghasilkan tenaga. Bahan toksin yang ‘larut lemak atau lipid soluble’ akan dibuang bersama. Namun begitu, proses detoksifikasi  tidak berkesan jika  kurang air di dalam badan.

Ada pendapat mengatakan bahawa minuman ais/sejuk adalah tidak baik bagi kesihatan kerana air yang sejuk di dalam perut akan menyebabkan lemak berkumpul dan mengganggu proses penghadaman. Walaupun pandangan ini diterima ramai, tiada fakta perubatan untuk mengesahkannya. Air  sejuk/ais adalah hidangan hampir wajib di setiap rumah semasa berbuka di negara kita.  Rakan-rakan saya  dari kalangan doktor dan pakar perubatan sukakan air sejuk kerana ianya tidak membuang masa untuk menghabiskannya berbanding minuman panas. Dengan itu kami dapat bertugas dengan lebih cepat.

3. Sebaiknya masak sendiri juadah berbuka
Juadah berbuka sebaiknya dimasak sendiri atau oleh isteri. Dengan itu kita dapat megawal kadar pengambilan lemak, gula dan garam dalam makanan serta tahap kebersihan penyediaannya.  Makanan yang dibeli di Pasar Romadhon adalah di luar kawalan kita dalam aspek tersebut. Cadangan ini mungkin tidak praktikal kepada para pelajar serta pekerja yang penat setelah seharian bekerja.  Tetapi bagi  suri rumah dan pekerja yang dapat balik lebih awal, perkara ini boleh diusahakan. Setidak-tidaknya kita menyediakan juadah berbuka pada hujung minggu dan hari cuti.

Satu trend  yang kurang sihat yang berlaku di bandar-bandar adalah menghadiri ‘Buffet Ramadhan’ di hotel-hotel. Hotel-hotel ini biasanya menawarkan pelbagai juadah istimewa sebagai penarik dengan harga yang tidak murah. Secara psikologinya, setelah mengeluarkan belanja yang tidak sedikit, kita akan cenderung makan sepuas mungkin. Ini menyebabkan kita terlebih kenyang dan ini tidak membantu dalam pengamalan makanan yang sihat. Ini tidak termasuk dengan status halal dapur-dapur hotel yang diperkatakan sekarang.

Perbanyakkan makan buah dan sayur dalam bulan Romadhon. Buah-buahan dan sayur mempuyai banyak serat serta anti-oksidan. Serat penting  bagi melancarkan sistem penghadaman. Manakala anti-oksidan adalah elemen penting anti-penuaan dan melawan penghasilan barah. Saya mencadangkan supaya kita memakan lebih banyak sayur semasa berbuka dan menggantikan kuih-muih yang dimakan dengan buah-buahan selepas tarawih serta semasa bersahur.

4. Lewatkan bersahur
Rasulullah SAW menyuruh kita bersahur serta melewatkannya. Rasulullah SAW  bersabda  ‘bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada barakah’ (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Nasai, Ibn Majah).

Sahur yang dilewatkan sebenarnya adalah sarapan pagi yang awal atau  ‘early breakfast’. Sebenarnya makanan yang paling penting dalam sehari adalah makan pagi. Orang yang bersarapan pagi mempunyai risiko kurang 50% mendapat sakit jantung dan kurang risiko gemuk dan kencing manis. Sahur akan memberikan tenaga sepanjang puasa selama sehari. Glukos darah yang kurang di awal pagi akan terus kurang jika kita tidak bersahur. Bahkan bersahur lebih penting bagi kanak-kanak kerana tubuh mereka yang kecil.

Semoga penjagaan kesihatan semasa puasa Romadhon  dapat menjadikan badan cergas bagi melaksanakan ibadah semaksima mungkin. Kerana kita tidak tahu Romadhon kali ini mungkin yang terakhir bagi kita.
Salam Romadhon Kareem.


Terima kasih kepada sumber: http://www.wanitaisma.net/kesihatan/70-tips-tips-kesihatan-ramadhan.html